Pulangan Hasil Lumayan Dengan Cili Fertigasi
March 9, 2009 – 11:32 am | by joerzoeGraduan tanam cili peroleh pendapatan lumayan
SIJANGKANG 10 Julai – Impian untuk berjaya sebagai usahawan tani mendorong seorang lepasan kolej mengusahakan tanaman cili seluas 0.4 hektar di Kampung Batu 9 di sini sejak 1 April lalu.
Meskipun menerima pelbagai tawaran pekerjaan, Ikmal Subhi, 26, memilih untuk menjadi usahawan tani dengan memulakan tanaman tersebut menggunakan kaedah fertigasi.
Hasilnya, setelah tiga bulan, 4,000 pokok cili yang ditanamnya kini mampu mengeluarkan purata 100 kilogram cili sehari.
Kesemua cili tersebut dijual kepada tiga pemborong tetap pada harga antara RM5 hingga RM6 sekilogram (kg).
“Saya lebih cenderung untuk bekerja sendiri dengan terlibat dalam sektor pertanian yang ternyata memberikan pulangan lumayan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Ikmal mendapat idea untuk mengusahakan tanaman cili setelah menyedari potensi pasarannya yang tinggi memandangkan sehingga kini bekalannya masih tidak mencukupi.
Beliau memilih cili jenis Kulai 568 yang lebih besar dan berat serta tahan lasak berbanding cili-cili lain.
Ladang cilinya itu mula mengeluarkan hasil pertama pada 16 Jun lalu sehingga Ikmal terpaksa mengambil seorang pekerja bagi membantu mempercepatkan proses memetik cili di samping bantuan anggota keluarga yang lain.
“Pada peringkat awal penat juga bekerja di tengah panas, tetapi saya kuatkan semangat dan azam untuk terus mengusahakannya secara sepenuh masa,” katanya.
Bagi memulakan tanaman itu, dia mengeluarkan modal RM90,000 hasil simpanan bapanya dengan sebahagian besar modal itu digunakan untuk kerja-kerja menambak tanah.
Menurutnya, jangka hayat pokok cili setelah mengeluarkan hasil mampu bertahan sehingga tiga bulan sebelum diganti dengan pokok lain.
Ikmal berkata, soal pasaran tidak menimbulkan masalah kerana sehingga kini bekalannya sentiasa tidak mencukupi.
Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa bersedia membantu memasarkannya jika timbul masalah di luar jangkaan.
Untuk rancangan masa depan, Ikmal akan membuka tapak seluas 0.6 hektar di kawasan berhampiran bagi memperluaskan lagi tanaman cili yang akan dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau berharap usahanya menceburi bidang pertanian itu yang terbukti memberikan pulangan lumayan, akan dicontohi golongan muda yang masih lagi tercari-cari pekerajaan.
Tags: cili fertigasi
| Posted in » 